Adat resam Tsagaan_Sar

Sewaktu perayaan Tahun Baru, kaum keluarga menyalakan lilin di mazbah sebagai lambang kesedaran. Selain itu, orang ramai saling mengucapkan Amar mend uu? atau Amar bain uu? (ucapan formal yang disampaikan kepada orang tua). Kaum Mongolia juga menziarahi kawan-kawan dan sanak-saudara dan bertukar hadiah pada hari ini. Sesebuah keluarga Mongolia biasanya berjumpa di kediaman ahli tertuanya.[2] Ramai yang berpakaian tradisional Mongolia sempena perayaan ini. Orang muda menggenggam siku orang tua sebagai tanda sokongan kepada mereka. Yang tertua mendengar ucapan dari setiap ahli keluarga lain kecuali isteri/suaminya.[2] Dalam upacara ucap-mengucap ini, sanak-saudara memegang potongan kain panjang berwarna-warni yang dipanggil khadag.[3] Selepas upacara itu, seluruh keluarga menjamu selera dengan nasi dan dadih, hasil tenusu dan minuman tradisi, dan bertukar hadiah.

Sehari sebelum Tsagaan Sar dipanggil Bituun atau "anak bulan". Dalam kefahaman Mongol, terdapat empat fasa bulan utama, iaitu Bituun (anak bulan), Shined (bulan sabit baru), Tergel (bulan purnama), dan Huuchid (bulan sabit lama). Pada hari Bituun, orang ramai membersihkan rumah sebaik-baiknya, penggembala turut membersihkan kandang ternakan untuk memastikan kesegaran Tahun Baru. Upacara Bituun juga melibatkan penyalaan lilin untuk melambangkan kesedaran samsara dan segala makhluk yang berperasaan, serta meletakkan tiga keping ais di muka pintu untuk diminum kuda dewa Palden Lhamo kerana dewa ini dipercayai mengunjungi setiap rumah pada hari ini. Pada waktu petang, satu keluarga berkumpul (biasanya keluarga asas sahaja[2] berbanding dengan majlis kenduri besar-besaran pada hari Bulan Putih) untuk menghabiskan saki-baki tahun lama dengan menjamu hasil tenusu dan buuz. Mengikut tradisi, pada hari inilah orang Mongolia menyelesaikan segala permasalahan dan melangsaikan semua hutang pada tahun lama.[2]

Sewaktu Mongolia diperintah oleh Komunis, kerajaan mengharamkan sambutan Tsagaan Sar lalu cuba menggantikannya dengan cuti "Hari Penggembala Kolektif", tetapi perayaan ini akhirnya dipulihkan selepas Mongolia beralih ke sistem demokrasi pada tahun 1990.[4]

Masakan

Antara hidangan tradisional yang disediakan untuk perayaan ini termasuk hasil tenusu; nasi dadih (tsagaa) atau nasi kismis (berees);, biskut tradisional yang ditimbun dalam bentuk seakan gunung atau piramid di atas pinggan besar sebagai lambang Gunung Sumeru atau alam Shambhala; daging biri-biri sebelah salai dengan daging lembu atau biri-biri cincang yang dikukus dalam pastri (buuz), dan daging kuda.[5] Tsagaan Sar diraikan dengan jamuan kenduri yang mewah dan memerlukan beberapa hari untuk disiapkan, kerana kaum wanita membuat buuz banyak-banyak lalu membekunya untuk disimpan hingga tiba perayaan.[2]